Padi |
Jadilah seperti al-Hasan al-Basri, memiliki ilmu yang tinggi sehingga menjadi orang yang tunduk pada Allah dan tidak tunduk pada mana-mana manusia. Mampu memberi nasihat dan kata-kata yang berhikmah sehingga pendengar menitiskan air mata.
Jadilah seperti al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar as-Siddiq, ulama tabiin yang mendalami ilmu dari para sahabat dan mengajarkan ilmu tersebut kepada umat Islam. Diangkat menjadi Imam Madinah kerana ketakwaan. Menjadi tempat rujukan khalifah Umar Abdul Aziz dalam membuat keputusan.
Jadilah seperti Amir bin Shurahabil, seorang pencinta ilmu sehingga tidak perlu menulis dan mengulang untuk menghafal. Mampu membaca syair selama sebulan tanpa mengulang syair yang sama. Suka membantu yang lemah, berbudi pekerti mulia dan suka bergurau.
Kenapa mereka menjadi sebegitu rendah diri? Bahkan mereka memiliki ilmu yang hebat untuk memiliki harta dan pangkat seperti khalifah jika mereka mahu. Sudah tentu mereka mencari sesuatu yang lebih baik dari harta dan pangkat sehingga tidak menghiraukan perkara-perkara tersebut. Antaranya ilmu yang bermanfaat kepada umat ketika itu dan generasi seterusnya. Mereka dahagakan ganjaran Allah melebihi dunia.
Oleh itu, seseorang yang beriman itu dengan bertambah ilmunya, akan bertambah tawadhu' dan rendah diri kerana dia tahu akan kekuasaan dan kehebatan Allah yang Maha Besar. Sama-samlah kita berusaha untuk menjadi seperti generasi yang hebat dahulu.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment