Saturday, January 29, 2011

Antara Jahiliyah Dan Islam

Saya tertarik dengan tajuk akhbar hari ini yang mengatakan Nik Aziz berkata sokong selain PAS bermakna pilih jahiliyah. Saya tidak berminat untuk mengkaji sumber dan membahas kata-kata Nik Aziz ini. Cuma ingin berkongsi maksud jahiliyah dan islam itu agar kita sama-sama jelas dan mampu membuat pertimbangan dalam kehidupan seharian.

Kenal pasti apa itu jahiliyah sebelum bertindak

Apa itu jahiliyah? Ada pendapat menyatakan bodoh dan ada juga berpendapat perbuatan seperti sebelum  kedatangan Islam itu jahiliyah. Saya berpendapat jahiliyah itu adalah perkara selain Islam. Oleh itu, untuk mengetahui jahiliyah kita perlu kenal Islam terlebih dahulu supaya kita jelas apa itu dimaksudkan 'perbuatan selain Islam'.
Islam bermaksud tunduk atau berserah. Ertinya Islam itu kepatuhan, ketundukan atau penyerahan diri seseorang kepada Allah. Islam adalah sistem kehidupan yang menyeluruh. Bermakna hiburan, ibadat, ekonomi, pentadbiran, perubatan, ilmu dan sebagainya ada dalam Islam. Bermakna kepatuhan dan penyerahan kita kepada Allah seperti yang diperintahkan melalui Rasulullah dan kitab-Nya adalah Islam.

Harap pembaca jelas apa itu Islam. Jadi tidak susah untuk mengenali jahiliyah jika kita kenal Islam. Seperti kita kenal buah betik, sudah tentu bila nampak buah tembikai kita tahu itu bukan buah betik. Jadi jahiliyah itu adalah perkara selain Islam. Bermakna jahiliyah terbesar ialah tidak mengenali pencipta kita iaitu Allah dengan keimanan yang sebenar. Bukan hanya kita tahu nama Allah, berkata saya beriman dengan Allah tetapi tidak melakukan apa-apa.

Bagaimana pula dengan jahiliyah lain? Sangat mudah untuk diketahui, contohnya jika Islam melarang couple tapi kita buat bermakna kita melakukan perbuatan jahiliyah. Islam melarang buang anak dan berzina tapi kita buat bermakna kita melakukan jahiliyah. Ingatlah bahawa Rasulullah diutuskan untuk mengeluarkan manusia dari jahiliyah kepada Islam.

Jahiliyah ini bukanlah satu sistem pemerintahan tetapi adalah sistem yang berlaku pada masyarakat itu sendiri. Jika ada pemerintahan Islam, dapatkah bertahan jika masyarakatnya gemar melakukan perkara-perkara jahiliyah? Jika majoriti dalam masyarakat berpegang pada Islam yang sebenar, InsyaAllah sistem Islam itu akan naik dengan mudah dan mampu bertahan kerana didokong oleh masyarakat itu sendiri.

Jika sudah tahu, apa tindakan kita? Mari muhasabah diri dengan mengenal pasti jahiliyah yang kita lakukan dan jahiliyah yang berlaku di sekeliling diri kita. Kita berusaha mengikuti Islam secara seluruhnya bermula dengan diri sendiri. Pentingnya sahabat yang baik untuk membantu kita kearah Islam. InsyaAllah kita akan mampu membantu rakan-rakan yang lain menghindari perbuatan jahiliyah.

Wallahualam

No comments:

Post a Comment