Saturday, May 21, 2011

Sultan Abdul Hamid II dan Kejatuhan Khilafah Islam (6)

Peristiwa yang menyedihkan apabila Khalifah Abdul Hamid dipaksa meletakkan jawatan

Selepas Sultan Abdul Hamid diberhentikan secara paksa lalu dikeluarkanlah konstitusi (perlembagaan) dasar Usmani. Parti ‘Al-Ittihad wa at-Turaqqi’ kemudian menguasai pemerintahan. Mehmed Kelima dilantik menggantikan beliau dan memerintah dari tahun 1909 hingga 1918.


Selepas penyingkiran Abdul Hameed daripada jabatan, banyak penulis mula menyerangnya (semasa bertugas) dan peribadi beliau. Sejarah beliau kemudian banyak ditulis oleh musuh-musuhnya baik di dalam mahu pun di luar Turki. Hanya beberapa orang pemikir dan ahli sejarah yang adil. Mereka melemparkan tuduhan busuk kepada beliau sama seperti yang mereka lakukan terhadap Adnan Mundaris iaitu orang yang memerintahkan dikembalikannya pengumandangan azan dalam bahasa Arab setelah mereka dipaksa oleh Mustafa Kamal untuk mengumandangnya dalam bahasa Turki. Ketika orang Turki dilarang mencaci atau mengkritik Mustafa Kamal kononnya beliau adalah pendiri Republik Turki Moden dan jika kritikan dilakukan, hukumannya adalah diasingkan tetapi pada masa yang sama kesempatan yang seluas-luasnya diberikan untuk melemparkan tuduhan keji terhadap Sultan Abdul Hameed.

Salah seorang daripada penulis yang berniat jahat adalah John Haslib, dalam bukunya "The Red Sultan" yang menjadi sangat mashyur, dan telah diterjemahkan kepada banyak bahasa seperti Arab (diterjemahkan sebagai ‘As-Sultan Al-Ahmar: Abdul Hameed) dan Turki. Buku berbahasa Turki yang bertajuk "Iki Me Min Perde Arkasi Yazan : Nafiz Tansu" oleh Ararat Yayinevi adalah sebahagian daripada propaganda yang membawa Negara Uthmaniah tenggelam dan semakin dalam dan hanya akan diselamatkan oleh Turki Muda yang telah menyingkirkan Abdul Hameed. Sebuah buku lagi oleh penulis Arab Kristian yang masyhur, Georgy Zaydan dalam bukunya "Cerita-Cerita Dalam Sejarah Islam Revolusi Uthmaniah (Riwayat Tarikh Al-Islami: Al-Inqilab Al-Uthmani)". Buku-buku ini tidak lain hanyalah penipuan-penipuan yang telah ditulis oleh orang-orang yang sangat benci kepada Islam dan Orang-orang Islam. Ia menceritakan bahawa Sultan Abdul Hameed sebagai seorang yang tenggelam dalam keseronokan hidup seperti perempuan dan alkohol, dan raja yang zalim dan tidak memaafkan  musuh politiknya dan rakyatnya. Penipuan-penipuan ini tidak kekal  kerana al-haq (kebenaran) sentiasa menang.

Akibat Menyingkirkan Khalifah Yang Jujur

Akhirnya, selepas Abdul Hameed, muncul segolongan pemimpin yang lemah, mereka tidak mampu mentadbir negara dan mereka hilang kuasa dengan mudah. Seperti yang Abdul Hameed jangkakan, Perang Dunia Pertama berlaku dan negara Uthmaniah telah dibahagi-bahagikan sesuai dengan taktik ‘Pecah dan Perintah’ (Divide and Rule) yang dijalankan oleh Barat. Orang-orang Arab memberontak  di Hijaz dengan bantuan British dan Perancis, ( British dan Perancis ) yang mana selepas itu telah mengkhianati mereka dan menguasai mereka dan menyerahkan tanah Islam Palestin kepada Yahudi. Ia tidak akan berlaku jika mereka mendengar nasihat Abdul Hameed.

Pada 21 November 1922, Turki telah mengadakan perjanjian dengan Britain untuk membahaskan penyelesaian masalah Turki. Britain mengambil kesempatan tersebut untuk mengemukakan syarat-syaratnya yang dikenali sebagai “Pensyaratan Curzon” jika Turki mahu pasukannya dikeluarkan dari wilayah Turki iaitu :-
(1) Turki mesti menghapuskan Khilafah Islamiyah serta mengusir Khalifahnya dan merampas semua hartanya.
(2) Turki mesti berjanji untuk menghalang setiap gerakan yang membela Khilafah.
(3) Turki mesti memutuskan hubungannya dengan dunia Islam.
(4) Turki mesti menerapkan undang-undang sekular yang dipanggil undang-undang ‘civil’ untuk menggantikan Syariat Islam.

Syarat-syarat itu diterima oleh agen Britain iaitu Mustafa Kamal dan beliau menandatangani perjanjian itu pada 24 Julai 1923.

Akhirnya setelah perdebatan hangat dan ugutan, Majlis Raya Kebangsaan menghapuskan jawatan Khalifah, membubarkan Khilafah dan Khalifah pada waktu  itu iaitu Khalifah Abdul Majid II diusir keluar negeri. Dengan ini  berakhirlah Kesatuan Kepimpinan orang-orang Islam dalam masa 1300 tahun. Barat telah berjaya sepenuhnya. Pemerintah sekular Turki cuba menghapuskan pengaruh Islam dengan menutup masjid-masjid, melarang penggunaan bahasa Arab, tulisan Arab, melarang penutupan aurat dan pakaian yang dikira sebagai berunsurkan Islam, menghapuskan Mahkamah Syariah dan mengubah kalendar Hijriyah kepada kalendar Masihi. Apabila Turki menerima pembaratan selepas jatuhnya Khilafah Islamiah yang terakhir dengan dibatalkan undang-undang Islam dan diganti dengan undang-undang kafir sehingga Islam tidak lagi memerintah, maka Syeikh Al-Islam  yang terakhir iaitu Almarhum As-Syeikh Mustafa Al Basri telah menegaskan dalam bukunya ,” sekularisma yang  memisahkan ajaran agama dengan kehidupan dunia merupakan jalan paling mudah untuk menjadi  murtad.” (Rujukan: H-Net, 15 Mei 1998). Orang munafik mengharapkan, bercita-cita dan menunggu kehancuran dan hilangnya Negara Islam di tangan konco mereka orang kafir. (Mukhtasar Ibn Katsir, I/449).

Pada tahun 1926 seorang pemimpin bangsa Kurd bernama Sheikh Said telah melancarkan perang menentang pemimpin sekular Turki demi mengembalikan Khilafah. Ketika beliau dibicarakan, beliau jelas mengatakan beliau berjuang bukan kerana menegakkan negara Kurd atau memperjuangkan bangsa Kurd tetapi revolusinya itu adalah semata-mata kerana menegakkan hukum Allah SWT.

Pada hari ini, orang-orang Islam mula sedar daripada kesan Perang Arab-Israel pada tahun 1967, kesan perang Bosnia, perang Chechnya, dan perang Kashmir, orang-orang Islam mula menyedari bahawa mereka tidak akan dapat bangun melainkan jika mereka bersatu dan disatukan oleh ikatan Islam. Orang-orang Islam mula kembali kepada Islam dan Barat mula berwaspada terhadap kebangkitan Islam. Selepas beberapa tahun Azan dalam bahasa Turki, masjid-masjid di Istanbul kembali melaungkan "Allahu Akbar" dalam bahasa Arab yang jelas. Tanda -tanda kembalinya tamadun yang agung.

Sultan Abdul Hameed adalah seorang personaliti yang hebat dalam zamannya.  Dengan stamina dan kewibawaannya yang teguh, beliau berjaya menerajui  Khilafah yang berada dalam keadaan tenat. Beliau juga adalah seorang khalifah yang berpegang teguh kepada Islam. Beliau adalah seorang pemerintah yang sentiasa disebut namanya dalam khutbah-khutbah di seluruh dunia Islam. Dalam kesibukannya menguruskan hal ehwal umat Islam, beliau sentiasa mengingati Allah SWT. Setiap hari sebelum memulakan tugasnya, beliau membaca Quran dan menunaikan dua solat sunat di awal pagi. Kegagahannya dipamerkan melalui keupayaannya untuk bertahan dan memerintah selama 33 tahun walau pun beliau menghadapi pelbagai komplot jahat dan cabaran. Akhbar ‘Moniteur Oriental’ bertarikh 31 Ogos 1896 menyatakan tentang prihatinnya Sultan terhadap rakyatnya dalam kenyataan yang berikut: “Tidak ada sebarang perkara
yang tidak terlepas dari pengawasan dan aktiviti Yang Mulia Sultan. Sesungguhnya tidak ada pemerintah yang layak menerima keberkatan rakyatnya kecuali Yang Mulia Abdul Hamid.” (h. 313, ‘Constantinople’). Beliau juga menemui rakyatnya pada bila-bila masa sahaja tidak seperti pemerintah-pemerintah yang lain. (h. 315, ‘Constantinople)

Kita menyeru pembaca-pembaca Islam untuk mendoakan untuk roh Sultan Abdul Hameed dan semua orang-orang Islam yang mengabdikan hidup mereka untuk kepentingan Islam dan seluruh Ummat Islam. Kami berharap kami telah dapat mempersembahkan sesuatu yang boleh membuat anda melihat secara jelas dan memperkuatkan kepercayaan anda kepada impian Islam dan membuang segala salah faham dan salah konsep jika ada.

Bersatu kepada ikatan Islam, semoga Tuhan merahmati Umat Islam dan memberi rahmat kepad roh Sultan Abdul Hameed dan semua orang Islam yang Ikhlas. Matahari mungkin telah terbenam, tetapi ia akan terbit semula dengan kehendak Tuhan.

Wallahualam..

No comments:

Post a Comment