Sunday, May 29, 2011

Cara yang betul menggunakan Ar-Rahnu (pajak gadai emas)

Ramai orang yang memiliki emas akan meletakkan emas mereka di Ar-Rahnu untuk mendapat pinjaman wang. Tidak kurang juga penjual-penjual emas mempromosi Ar-Rahnu sebagai tempat untuk mendapatkan modal pusingan dalam perniagaan emas. Namun, tidak ramai yang benar-benar tahu menggunakan Ar-Rahnu dengan betul agar tidak kehilangan emas akibat dilelong oleh pihak penyimpan emas.


Pertama, kita perlu tahu sebab utama kita menggadaikan emas di Ar-rahnu. Terdapat pelbagai sebab yang saya boleh nyatakan di sini. Antaranya mendapat wang untuk modal berniaga atau kesesakan wang. Jadi kita perlu menggunakan wang tersebut hanya atau hampir semuanya untuk tujuan tersebut. Bukan dengan sengaja memajak emas dan menggunakan duit tersebut untuk kegunaan harian.

Kedua, kita perlu rancang bila kita akan tebus kembali emas yang digadai. Jangan hanya tahu memajak emas tetapi tidak tahu bila perlu menebus emas tersebut. Digalakkan supaya pemajak menebus dengan segera emas mereka dalam tempoh 2 bulan dari tarikh dipajak. Ini supaya dapat mengelak dari bebanan dikenakan upah simpan yang sebenarnya sangat tinggi.

Ketiga, kira jumlah upah simpan dan bayaran pinjaman sebelum memajak. Elakkan dari sikap sambil lewa dalam merancang pinjaman anda. Ingatlah bahawa pinjaman ar-Rahnu dari bank adalah seperti kita meminjam wang dari bank secara loan. Nama kita sebagai peminjam akan masuk dalam senarai bank negara sebagai peminjam dari bank. Sekiranya gagal menebus, nama peminjam akan disenarai hitam oleh bank negara.

Keempat, bagi yang menggunakan khidmat ar-Rahnu untuk mendapat pulangan dari kenaikan emas,  diingatkan bahawa tiada jaminan emas akan naik seperti yang mereka harapkan. Untuk berbuat demikian adalah boleh tetapi dengan memiliki ilmu yang cukup. Kita tahu membeli emas ketika murah dan segera menjual apabila harga tinggi. Elakkan meletakkan emas anda di ar-rahnu sekiranya tidak tahu membaca harga emas.

Kesimpulannya, memajak ar-Rahnu tidaklah digalakkan kerana beberapa risiko yang terpaksa ditanggung oleh pemajak seperti disenarai hitam oleh bank negara. Pemajak harus bersedia menebus kembali emas dengan secepat mungkin supaya jumlah upah simpan tidak membebankan dan mengelakkan kerugian yang besar.

Wallahualam...

1 comment:

  1. boleh tanya tak kalau arrahnu exchange termasuk dalam list sbg peminjam dari bank tak?

    ReplyDelete