Bila kita menyebut Melayu, kerap kali masyarakat mengaitkannya 
dengan istilah ketuanan Melayu, hak keistimewaan orang Melayu. Adakah 
slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat menafikan hak orang lain dalam 
masyarakat Malaysia di negara kita ?
Pertama sekali hendak
 dilihat di sini tentang istilah ketuanan Melayu itu sendiri. Istilah 
ini sebenarnya tidak mempunyai satu rujukan yang disepakati, berkaitan 
takrif dan definasinya, sehingga perbahasan dan pandangan mengenainya 
bercanggah-canggah antara satu pihak dengan pihak yang lain disebabkan 
definasi yang berbeza-beza. Bagi pihak ISMA, kita melihat isu ketuanan 
Melayu ini dari aspek yang tertentu.
Isu ketuanan Melayu pada 
takrifan kita ialah berdasarkan fakta sejarah yang mana orang Melayu 
merupakan penduduk asal di tanah air ini. Orang Melayu adalah pemilik 
tanah ini. Orang Melayu adalah pewaris secara turun temurun daripada 
zaman sebelum Islam, sehingga selepas kebangkitan Rasulullah S.A.W. dan 
zaman Islam. Orang Melayulah merupakan penduduk asal di negara ini dan 
merekalah tuan uang berhak memiliki, memerintah, menentukan masa depan 
dan halatujunegara ini, secara fakta dan sejarah.
Melihat kepada aspek itu, maka maksud ketuanan di sini ialah siyadah,
 yang mempunyai hak untuk memimpin, menentukan arah tuju dan masa depan.
 Adapun sesetengah orang mentakrifkan ketuanan Melayu dengan makna 
bangsa yang mulia dari segi zuriat dan keturunan, ataupun darah dan 
warna kulit, itu bukan yang kita fahami. Kefahaman sebegitu mungkin 
berlaku di Barat atau sejarah Arab lama.
Pada zaman silam ada 
orang bangga dengan bangsa. Contohnya zaman Nazi. Orang Yahudi bangga 
dengan darah dan keturunannya. Tetapi dalam sejarah Melayu, tidak timbul
 istilah ini. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Melayu, dalam transkrip
 Melayu menyatakan bahawa darah Melayu ini daripada keturunan mulia, 
beraja, dan menjadikan ia bangsa yang lebih mulia daripada bangsa yang 
lain. Itu tidak berlaku dalam sejarah Melayu.
Jadi, menghukum 
ketuanan Melayu dengan fahaman begitu adalah silap, tidak merujuk kepada
 fakta dan sejarah. Tetapi yang menjadi sejarah dan fakta sebenarnya 
adalah orang Melayu merupakan pemimpin, pemilik tanah ini secara turun 
temurun yang telah memimpin rantau ini dengan Islam beratus tahun. Ini 
adalah fakta. Fakta sejarah juga menunjukkan kaum-kaum lain yang datang 
ke sini adalah kaum pendatang. Dalam konteks sejarah dan negara, kita 
dianggap sebagai masyarakat majmuk bermula pada tahun 1940. Itu 
merupakan tempoh yang sangat baru dalam sejarah.
Istilah ketuanan
 Melayu merujuk kepada fakta sejarah ini. PErtama, ketuanan Melayu 
dengan mafhum ini tidak bercanggah dengan Islam. Kedua, aspek hak asasi 
dan hak istimewa. Hak asasi dan hak istimewa ini adalah satu jaminan 
perlembagaan berasaskan kepada yang dipanggil affirmative action.
 Dalam konteks ketuanan Melayu, yang dikehendaki sebenarnya adalah lebih
 dari itu lagi, iaitu kedudukan Melayu dan Islam dikembalikan lebih 
daripada apa yang ada pada hari ini. Bukan setakat mempertahankan saki 
baki apa yang ada, malah kita mahu memperjuangkan lebih daripada itu, 
iaitu memertabatkan lagi kedudukan Islam dan maruah umat Islam di negara
 ini.
Adakah slogan ini mengancam hak orang lain? Tidak pernah 
berlaku dalam sejarah, kefahaman, ideologi, budaya, pemikiran, adab-adab
 orang Melayu dan ajaran Islam sebarang penindasan ataupun memandang 
rendah dan hina bangsa lain. Jadi tidak berlaku penindasan dengan mafhum
 itu atau dengan pandangan ideologi seperti itu.
Apabila
 kita menyebut ketuanan Melayu ataupun dalam istilah kita Melayu Sepakat
 Islam Berdaulat, kita tidak bermaksud untuk menafikan hak orang lain, 
bahkan menurut ajaran Islam, orang bukan Islam mempunyai hak 
kewarganegaraan yang sama dengan orang Islam. Mereka boleh hidup aman, 
mencari rezeki, boleh maju dan mendapat kejayaan. Sejarah membuktikan 
sampai hari ini pun, orang yang lebih kaya di Malaysia bukan orang 
Melayu. Orang yang lebih berjaya di Malaysia bukan orang Melayu. Jadi 
tiada dalam pemikiran orang Melayu untuk mengenepikan bangsa lain, 
memandang rendah ataupun menidakkan hak-hak orang lain. Jadi, itu semua 
adalah dakwaan yang tidak berasas dan tidak mempunyai bukti.
Sumber : Buku 30 Soal Jawab Melayu Sepakat Islam Berdaulat dikeluarkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

 
No comments:
Post a Comment