Saturday, May 19, 2012

Melayu Sepakat Islam Berdaulat (1)

Apa perjuangan ISMA dan mengapa slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat diwujudkan ?

     ISMA tidak mengideologikan Islam itu. Perjuangan dan fikrah ISMA ialah Islam sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dalam bentuknya mudah tanpa ditambah ataupun dikurangkan. Kita menerima Islam sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana wahyu itu diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan dibawa oleh baginda kepada para sahabat dan seterusnya sampai kepada generasi kita sekarang, itulah Islam yang dibawa oleh ISMA.


      Jika ditanya apa fikrah ISMA? Maka jawapannya ialah Islam itu sendiri sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Ini kerana banyak sekali kita lihat hari ini timbul kecenderungan dalam kalangan sesetengah pihak untuk mencampur-baurkan fikrah Islam dengan ideologi-ideologi lain dan menyebabkan kekeliruan berlaku dalam masyarakat umum.Jadi, di atas asas fikrah Islam yang mudah ini jugalah ISMA menetapkan pendirian-pendirian tehadap sesuatu perkaa, terhadap badan-badan lain, terhadap isu-isu, terhadap segala apa yang berlaku di sekitar kita pada masa ini. Apa sahaja cabaran yang dihadapi oleh umat Islam hari ini ISMA melihat daripada aspek Islam yang asli, murni dantulen, termasuklah dalam persoalan mengenai slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat.

     Sebenarnya inti kepada perjuangan ISMA ialah untuk membina, membangun dan mempertahankan keperibadian dan jati diri orang Islam khususnya masyarakat Melayu dirantau ini, khususnya di Malaysia. Oleh kerana orang Melayu pada dasarnya telah bercampur darahnya dengan Islam, rohnya dengan roh Islam dan telah menjadi sebahagian daripada umat Islam dan tidak ada sesiapa pun boleh menafikannya, walaupun apa yang berlaku sepanjang sejarah penjajahan dan sebagainya. Agenda-agenda asing cuba untuk menghakis jati diri keperibadian Islam ini daripada orang Melayu sehingga tidak mempunyai agenda dan pegangan. Bagaimanapun, ISMA masih menganggap bahawa segala kekuatan Islam itu masih wujud pada diri orang Melayu sebagai suatu ummah, sebagai suatu bangsa yang berdiri tegak di atas asas-asas rukun agama Islam.

     Jadi, agenda utama ISMA ialah membina, membangun dan mempertahankan keperibadian dan jati diri umat ISlam sehingga menjadi bangsa yang memperjuangkan Islam, yang membela Islam dan menjadi kepimpinan Islam pada masa akan datang. Oleh kerana sekarang kita lihat masyarakat Melayu, khususnya di Malaysia yang merupakan kaum majoriti di kalangan orang Islam, berhadapan dengan berbagai-bagai agenda yang datang daripada luar dan juga daripada dalam negeri.

     Soalnya bagaimana orang Melayu dan masyarakat Islam boleh keluar daripada kemelut ancaman ini? Inilah jawapan ISMA. ISMA lancarkan slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat. Pada pandangan ISMA, dengan kembalinya orang Melayu kepada Islam, dengan kita kukuhkan semula keperibadian Melayu kepada jati diri keislaman, kita bersatu padu menjadi umat yang mempunyai risalah, menjadi umat yang mempunyai agenda, maka kita akan dapat keluar dengan selamat dari situasi yang kita hadapi sekarang.

Sumber : Buku 30 Soal Jawab Melayu Sepakat Islam Berdaulat dikeluarkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

No comments:

Post a Comment