Membaca Al-Quran atau tilawah Al-Quran
merupakan satu ibadah di dalam Islam. Menurut hadis, satu huruf jika
dibaca bersamaan 10 pahala atau 10 kebaikan. Itu pahala bacaan,
bagaimana pula dengan pahala bacaan yang disertakan dengan penghayatan
dan diamalkan?
Selaku kitab hidayah dan peringatan,
umat Islam digalakkan menjadikan tilawah Al-Quran sebagai amalan harian
yang memberi panduan, peringatan, petunjuk dan motivasi dalam mendepani
cabaran kehidupan.
Oleh itu, salafus soleh telah
menjadikan Al-Quran sebagai wirid harian (dibaca setiap hari) dan akan
rasa berdosa dan bersalah sekiranya satu hari berlalu tanpa membaca
Al-Quran.
Setiap umat Islam digalakkan membaca
Al-Quran setiap hari mengikut kadar bacaan yang mampu sama ada satu
juzuk sehari, setengah juzuk atau satu per empat juzuk setiap hari.
Realitinya, sesetengah daripada kita
tidak berjaya melaksanakan amalan ini berterusan setiap hari. Apakah
cara bagi memastikan kita istiqamah dalam amalan mulia ini?
1. Niat yang ikhlas kerana Allah.
Niat yang ikhlas kerana Allah akan
membantu kita istiqamah kerana daya penolak untuk kita melakukannya
adalah pahala dan redha Allah, bukannya keredhaan sesiapa di kalangan
rakan, guru, murabbi atau sesiapa pun. Kita juga tidak membaca Al-Quran
kerana ganjaran duit atau apa-apa ganjaran duniawi kerana sekiranya kita
melakukan sesuatu kerana sesuatu ganjaran, maka amalan itu tidak akan
berterusan apabila ganjaran yang diharapkan tidak diberikan.
2. Membawa Al-Quran ke mana-mana.
Hari ini terdapat pelbagai jenis reka
bentuk Al-Quran dan sudah ada aplikasi telefon pintar yang memudahkan
kita membaca Al-Quran. Masa-masa menunggu dan masa kosong akan lebih
mudah diisi dengan tilawah Al-Quran apabila Al-Quran berada di
mana-mana.
3. Mengelakkan daripada membuang masa dengan perkara tidak berfaedah.
Apabila kita muhasabah setiap detik dan
masa dalam tempoh 24 jam, kita akan mendapati banyak masa yang
dihabiskan dengan perkara yang tidak berfaedah. Sembang kosong, menonton
video, berbual di facebook dan whatsapp dan lain-lain yang boleh diisi
dengan amalan membaca Al-Quran. Secara purata, setiap orang yang lancar
bacaannya memerlukan 20-25 minit untuk menghabiskan setengah juzuk
Al-Quran. Tidak banyak, hanya perlu mengorbankan sedikit tabiat buruk
yang suka membuang masa dan menggantikannya dengan membaca Al-Quran.
4. Menetapkan masa khusus untuk membaca Al-Quran.
Bagi mereka pandai menyusun masa,
masukkanlah tilawah Al-Quran ke dalam senarai yang perlu dibuat (to do
list) dan jadikannya sebagai keutamaan harian (prioriti). Kemudian,
tetapkan satu waktu khusus sama ada di waktu pagi, atau waktu malam atau
mana-mana waktu yang sesuai untuk dilaksanakan. Pastikan ia dilakukan
pada masa yang ditetapkan untuk mengelakkan penangguhan seterusnya
terlupa untuk dilaksanakan.
5. Membaca dan menulis tentang isi kandung Al-Quran yang dibaca.
Ini adalah satu cara yang amat baik.
Secara langsung, kita mendapat pengajaran dan mampu menyampaikannya
kepada orang lain. Kita juga akan termotivasi setelah membaca sesuatu
kisah dan kita ingin mengetahui kisah selanjutnya. Syeikh Yusuf
Al-Qardawi mencadangkan agar kita menulis apakah pengajaran yang kita
dapat setiap kali selepas tilawah agar Al-Quran benar-benar mampu
menghidupkan jiwa kita.
Sebagai penutup, marilah bersama kita
berusaha dan bermujahadah bersungguh-sungguh bagi memastikan Al-Quran
terus berada di hati kita hasil tilawah harian yang kita lakukan. Jangan
memberi alasan seperti kesibukan dan tanggungjawab yang banyak supaya
dapat mengelakkan diri daripada membaca Al-Quran. Jadilah kita satu umat
yang mempunyai ciri-ciri umat yang akan mewarisi perjuangan baginda SAW
dan para sahabat RA. Ingatlah, perubahan bermula dari dalam diri kita!
No comments:
Post a Comment